Thursday, September 20, 2012

Engkau Yang Terindah



Kau menciptakan aku dengan limpahan kasih sayangMu. Bergenang air mataku di saat aku melabuhkan tirai hari yang dilalui pabila aku terfikirkanMu. Penat..penat sungguh. Saban hari yang dilalui kadangkala membuat aku tergelincir dari landasanMu. Bukan aku sengaja tapi kadangkala aku pun tidak mengerti akan diriku ini.
Dahulu, aku sekalipun menyedari hakikat kewujudanMu. Namun, kehidupan aku bertuhankan nafsu dan duniawi semata. Aku melewati hari-hariku dengan bahagia dan gembira. Tidak terlintas di fikiranku yang sebenarnya hidupku ini kosong. Kosong dan tidak berisi dengan pengertian hidup yang sebenar-benarnya. Kau berikan kejayaan dan kesenangan silih berganti kepadaku sehingga tidak pernah terlintas di benak fikiranku semua itu datang hanyalah daripadaMu. Aku yang alpa, leka meneruskan hidup ini dengan bertopengkan kebanggaan dan kemegahan. "Dia beruntunglah,budak pandai, semua cikgu kenal" . Kata-kata yang masih terngiang –ngiang di anak telingaku. Aku bersalah padaMu Ya Rabb. Ampunkanlah aku atas segala dosa yang dilakukan oleh tanganku sendiri.
Hari yang sentiasa bersinar mulai mendung. Perbuatanku dahulu dibayar tunai olehNya. Musibah datang silih berganti sehingga hampir meragut keimananku. Aku pernah ingin menamatkan riwayat hidupku dek kerana tidak tahan dengan musibah yang melanda. Atas ehsanMu dan kasih sayangMu yang tidak berbelah bagi pada diriku yang bergelumang dengan noda ini, kau suntik rasa keinsafan, jauh di sudut hatiku.
Aku yang nekad tadi mulai tersedar. Aku khilaf. Sedangkan pemilik nyawaku sendiri berkehendak agar aku teruskan perjuanganku di medan dunia ini, aku pula mengambil keputusan untuk pergi dari dunia ini yang sebenarnya bukan milikku. Betapa keji dan hina diriku ini Ya Allah. Aku mengambil hak dari yang Berhak.
Kasih sayangMu terhadapku yang kerdil ini telah menyebabkan Engkau mencampakkan aku pada suatu tempat yang tidak pernah terduga oleh akalku yang dangkal ini. Tidak ku sangka, sebenarnya tempat inilah yang membuka tirai-tirai lembaran hidupku yang baru iaitu perjalananku dalam kehidupan dengan bertuhankanMu.
Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkau kenalkan aku kepada teman-teman yang sangat mencintaiMu. HambaMu iaitu seseorang yang aku gelar Akak, ternyata anugerahMu buat insan yang hina ini. Aku mulai mengikut jejak langkah Akak iaitu kembali kepadaMu sedikit demi sedikit mengikut kudratku ini. Ternyata setelah aku mengenali Akak, barulah aku tahu hidupnya dahulu lebih teruk dari diriku. Kalau aku mengalami perubahan 180 darjah, Akak hampir 360 darjah. Ya Allah, besarnya nikmatMu ini. Aku mulai kagum dengan kebesaranMu.
Di samping Akak, aku punyai teman yang sangat mencintaimu, iaitu A. Berlainan dengan Akak, aku tidak begitu rapat dengan A. Aku banyak mengenali A kerana aku terlibat di dalam satu persatuan bersamanya. Ternyata bukan aku sahaja yang melalui dugaan yang berat, dugaan yang Allah berikan untuk A beribu kali ganda beratnya jika ditimbang tara dengan apa yang dilaluiku. Walaupun begitu, A begitu tabah mengharungi kehidupan yang aku kira sukar dilalui oleh insan biasa lebih-lebih lagi insan sepertiku.
Kini, barulah aku tahu kenapa A begitu tekad dan tabah. A menggantungkan seluruh kehidupannya hanya kepadaMu. Itulah yang tertinggal dalam kehidupanku dulu. Aku tidak menggantungkan seluruh hidupku padaMu. Tekadku untuk berubah semakin terpasak dalam hatiku. Berbekalkan iman yang mungkin lebih nipis dari kulit bawang, ku gagahi jua demi meraih cintaMu. Kehidupanku kini lebih terisi tatkala Engkau yang menjadi matlamatku. Segala kekosonganku kini makin terisi dek limpahan kasih sayangMu buat hambaMu ini.

Aku diduga sekali lagi, berbeza dari sebelumnya. Kali ini Engkau uji cintaku terhadapMu. Kau hadirkan dia yang tidak pernah terlintas dalam hatiku. Aku tidak berapa mengenalinya. Pertemuan pertama dengannya hanyalah di sekolahku, itupun hanya beberapa kali. Pertemuan yang ku anggap biasa dan tidak bermakna.
Engkau hadirkan cinta kepada hambaMu kerana cinta adalah fitrah manusia. Dek kerana cinta itulah dia menyimpan perasaan terhadapku dalam diam. Pertemuan sesingkat itupun berakhir apabila aku meneruskan pengajianku di kolej. Dengan tidak semena-mena, aku terima panggilan telefon darinya. Kaget aku. Seingat aku, aku tidak pernah memberikan nombor telefonku kepadanya mahupun mana-mana arjuna di luar sana terutama yang aku tidak kenali.
"Nombor ini ku dapat daripada seorang kenalanku yang juga kenalanmu", katanya kepadaku.
Ya Allah, jantungku berdegup kencang. Aku sendiri tidak mengerti keadaan diriku ini. Tidak pernah sekalipun peristiwa seumpama ini berlaku dalam sejarah hidupku dulu dan kini. Jarang sekali arjuna menegurku dengan sapaan yang begitu lembut sekali apatah lagi bertanya bolehkah diberikan sedikit ruang dalam hatiku untuk dirinya.
Dari hari ke hari, kami menjadi begitu rapat, bagai magnet yang sukar diputuskan ikatannya. Yang menghairankan aku, kami tidak pernah bersua setelah aku meninggalkan sekolah itu. Berkirim gambar pun tidak. Hanya medium telefon yang menyatukan ikatan kami. Setiap hari dia tidak pernah jemu menelefonku semata-mata untuk mendengar suaraku. Aku juga begitu. Aku semakin tertarik kepadanya dek kerana kata-kata nasihatnya kepadaku setiap hari, bukan kerana pujuk rayu seperti arjuna yang lain. Dialah lelaki pertama yang hadir dalam hidupku dan aku berharap dialah yang terakhir.
Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan dosa si dia. Kami khilaf. Sekali lagi Allah hadir menyelamatkanku. Aku meminta pandangan Akak dalam hal ini. Teryata aku salah, perhubungan ini dibina dengan cara yang ku kira salah menurut pandangan Akak yang lebih makan garam daripadaku.
Berjurai air mataku malam itu saat aku memikirkan perkara ini. Hanya Engkau yang bisa mengubati perit yang aku rasa ketika itu. Aku gagahi jua berperang dengannya untuk memutuskan ikatan ini. Dek kerana itu, aku telah menanamkan benih kebencian terhadap dirinya. Dia yang sakit hati dengan tindakanku, meluahkan apa yang terbuku di hatinya ketika itu tentang diriku. Aku dianggap perempuan hipokrit, kononnya berselindung di sebalik tirai keinsafan, tetapi hidup penuh dengan kepura-puraan. Tergores hatiku tatkala mendengar cemuhan itu. Cemuhan pertama yang dilemparkan oleh seorang lelaki terhadapku. Biarlah...Biarlah aku sakit dikeji manusia daripada menangggung sakit menduakanMu. Aku tidak sanggup lagi menduakanMu!!!

Masa kian berlalu. Apa yang aku harapkan hanyalah Allah memberikan yang terbaik dalam hidup si dia. Biarlah dia menjadi adam yang sejati dan membimbing hawanya ke jalan yang Engkau redhai meskipun bukan aku hawanya. Ku yakin si dia boleh. Aku yang hina lagi bergelumang dengan dosa, masih bisa meraih pengampunan dan kasih sayangNya pabila aku kembali padaNya, mana mungkin aku tidak bisa memaafkan segala cercaan si dia walaupun tindakannya dulu telah meninggalkan parut di dalam hatiku.
Aku kini kembali berjuang dalam dunia yang penuh ranjau dan duri berpasakkanMu dalam hatiku. Terima kasih Ya Allah kerana menghadirkan insan yang menyayangi diriku terutamanya kedua ibu bapaku dan saudara seibu sebapaku, Akak dan A serta mewarnai hidupku dengan menghadirkan si dia untuk menguji sejauh manakah cintaku terhadapMu.
Kau Yang Terindah Di dalam Hidupku
Hanya Cintamu Mekar Selamanya
Tak Inginku Lagi Mencintai Yang Lain
Kau Telah Mengikatku Selamanya.....
Ingin sekali ku laungkan....aku sangat mencintaiMu melebihi apapun.

No comments:

Post a Comment