Friday, October 16, 2015

Inilah Hijrah Diriku

Assalammualaikum w.b,t

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan 'Salam Maal Hijrah 1437H' kepada semua kaum muslimin dan muslimat sama ada yang berada di dalam negara atau luar negara. Bersempena tahun baru hijrah ni, marilah kita bermaafan antara satu sama lain dan melupakan sengketa yang telah berlalu. Marilah bersama-sama kita membuka buka baru dan lebih mendekatkan diri kita pada Sang Pencipta.

Pada kali ini, aku ingin menceritakan serba sedikit penghijrahan yang telah aku rancang untuk tahun 1437H ini. Mungkin sesetengah orang melihat pengertian hijrah itu berpindah dari satu tempat ke tempat lain seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Hijrah bukanlah hanya kepada perpindahan tempat tetapi berhijrah dari keburukan ke kebaikan juga adalah hijrah.

Mungkin setiap kali tahun baru Islam tiba, kita selalu berazam tetapi azam itu tidak tercapai pada tahun itu. Setiap kali tahun baru hijrah tiba, apa yang aku inginkan ialah aku berazam untuk menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya serta menjadi seorang anak yang soleh. Mungkin ini perkara biasa yang kita dengar tetapi kita susah untuk mencapainya.

Hijrah dari keburukan ke kebaikan adalah perkara utama yang aku fokuskan. Aku bukanlah seorang manusia yang baik atau alim seperti yang dilihat orang sekeliling aku tetapi aku bukanlah sejahat yang disangka. Aku juga tak terlepas dari melakukan kesalahan. Banyak zina yang aku lakukan sepanjang aku hidup. Orang melihat aku seperti orang tidak berani melakukan dosa tetapi aku adalah sebaliknya.

Orang sekeliling aku hanya melihat aku dari luaran tetapi mereka tidak pernah melihat aku dari dalaman. Kerana dosa yang pernah aku lakukan, aku pasrah saat bersujud memohon maaf dari Allah Yang Esa. Aku terasa malu setiap kali mengadap Allah kerana dosa yang aku lakukan tetapi aku harus melakukannya kerana kepada Allah juga aku akan kembali. Aku tahu Dia Maha Mengampuni tetapi telah aku serahkan jiwa dan hidup aku kepadaNya. Oleh itu, aku berazam ingin melakukan penghijrahan yang terbesar dalam diri aku. Aku inginkan penghijrahan itu bermula dari dalam diri aku sendiri. Hijrah diri itu lebih baik dari hijrah tempat.

Hijrah menjadi anak soleh adalah antara satu keutamaan dari diri seorang anak. Seorang anak yang soleh yang berdoa untuk ibu bapanya, tidak terhalang doanya oleh Allah. Aku selalu mengimpikan itu kerana aku sayang ibu ayahku dan aku ingin membalas jasa mereka dengan pengorbanan dan doa.

Aku kehilangan mak saat umur aku 12 tahun. Mak meninggal disebabkan "breast cancer". Setelah mak meninggal, abah lah yang menjaga kami adik beradik. Duit yang abah cari adalah untuk kegunaan kami adik beradik. Kami adik beradik tidak pernah minta simpati dari orang lain kerana kami boleh hidup tanpa bantuan mana2. Oleh sebab itu, aku sentiasa berdoa agar doa kami sampai kepada Sang Pencipta.

Aku memohon kepada Allah agar diberikan waktu untuk kami adik beradik membalas segala pengorbanan yang telah abah dan mak lakukan. Abah masih ada jadi kami masih sempat membalas jasanya tetapi mak telah tiada jadi kami hanya mampu mengirim doa kepadanya setiap kali selepas kami bersolat.

Salam Maal Hijrah 1437H







Saturday, October 10, 2015

Puisi : "Aku Helaian Kertas"


Aku helaian kertas
Yang engkau tulis kisah suka dan duka
Dengan pena engkau mencoret

Aku helaian kertas
Yang hari demi hari penuh ruang kosong
Dengan kata engkau meluah

Aku helaian terakhir
Yang mana bila kau tidak
memerlukan lagi untuk berkongsi kisah
Yang hanya kau biarkan berhabuk dan terbakar

Dan akhirnya aku terkapai-kapai sendirian
Dibalik api kemusnahan tanpa sedikit hirauan
Dan yang cuma kau bawa kenangan sahaja
Yang dianggap penting untuk kau semat
dalam ingatan

Nukilan Sang Puitis Dylasnad