Tuesday, November 6, 2012

Usahalah Menjadi Imam Wahai Lelaki!


Hilangnya Seorang 'Imam'
alt
Tok bilal mundar mandir. Gelisah. Serba tidak kena.
"Mana orang ni, siapa nak jadi imam ni, takkan nak minta muslimah pula, sesat ni...".
Selipar di luar surau sudah penuh, namun hanya dipenuhi selipar muslimah. 15 minit berlalu. Akhirnya terdapat tiga orang lelaki, yang dibukakan hati oleh Allah, untuk datang berjemaah di surau. Tetapi, lain pula ceritanya.
"Owh, tak sembahyang lagi rupanya, kita masih awal, jom baring dulu..," kata salah seorang daripada mereka.
Tok bilal bermonolog, bersyukur, memuji kebesaran Ilahi.
"Alhamdulillah, ada juga yang dah datang surau, dah boleh iqamah ni."
Selesai sahaja ketiga-tiga mengambil air sembahyang,
"Saff... Allahuakbar allahuakbar................."
Namun, tiga orang lelaki itu mempunyai ragam yang tersendiri.
"Alamak, dah iqamah, tak ada orang nak imam la plak. Ehh, aku nak pergi tandas jap."
"Err, aku dah terkentut la plak, nak ambil sembahyang jap."
"Haa gerak dulu, gerak dulu, ada orang call aku."
Semua mengelak, tidak mahu menjadi imam. Setelah selesai iqamah, tok bilal menoleh ke belakang.
"Laaaa, mana orang tadi ni!"
Bayangkan jika beginilah yang berlaku.. Apa yang akan kita lakukan? Adakah kita juga akan menjadi seperti ketiga-tiga orang tadi?
Kalau Semua Tidak Layak, Siapa Yang Layak?
Masjid Daerah atau Negeri mungkin boleh dikecualikan kerana masjid tersebut sudah mempunyai imam dan bilal yang telah ditauliah. Insiden ini sering berlaku di mana-mana surau atau masjid kawasan. Tidak semua, tapi segelintir. Sering sahaja masalah untuk menjadi imam diperbicarakan. Tolak menolak saling berlaku antara jemaah di surau, tidak kira samada golongan tua atau muda. Sama sahaja kerenahnya.
Justeru, tidak mustahil juga ada di antara jemaah yang sengaja datang lewat ke surau atau masjid hanya semata-mata tidak di 'tolak' ke hadapan untuk menjadi imam. Dan tidak mustahil ada juga di antara jemaah yang pada awalnya datang namun merasa solat di rumah lebih baik asbab insiden yang berlaku - ketiadaan imam yang tetap
"Eh, pergilah jadi imam, kau paling layak."
"Bukan kau sekolah agama ke, kau lah yang paling layak."
"Anda ambil Al-Quran Sunnah kan, masa SPM? Saya ambil Pendidikan Islam je, jadi andalah orang yang kami cari."
Semua mempunyai alasan yang tersendiri. Semua mengelak untuk tidak mahu menjadi imam. Mungkin ramai yang menggunakan hadis ini sebagai hujah.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Masud r.a iaitu Abdullah bin Mas'ud, berkata: 'Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud
"Menjadikanlah oleh kamu sekalian (yakni, hendaklah kamu jadikan atau angkat seseorang menjadi) imam kamu orang yang lebih pandai membaca Kitab Allah (a.w) (yakni, terbaik dalam membaca surah-surah al-Quran); maka jika ada sama mereka dalam kepandaian bacaan, maka mendahulukan oleh kamu (yakni, pilihlah) orang yang lama bertempat di qariah itu; maka jika sama lamanya dalam menjadi ahli qariah, maka dahulukan (yakni, pilihlah) orang yang lebih banyak ilmunya mengenai ilmu as-Sunnah (yakni, faqih tentang al-Hadith); maka jika sama dalam ilmu mereka mengenai ilmu as-Sunnah, maka mendahulukan (yakni, pilihlah) yang lebih tua antara mereka."
(Hadis Riwayat an-Nasa'i)
Jelaslah, mengikut ketetapan Rasulullah SAW, pemilihan imam solat itu hendaklah mendahulukan orang yang paling pandai membaca al-Quran dari segi tartil, sebutan dan pandai mengenai makhraj huruf dan sebagainya supaya bacaannya betul. Kemudian, lama tempoh dia menetap di qariah tersebut, jika sama pandai.
Kemudian, jika sama qari dan lebih kurang sama tempoh menetap di qariah tersebut, hendaklah dipilih orang yang paling alim tentang as-Sunnah yakni, faqih dalam ilmu-ilmu al-Hadith supaya dia membaca surah-surah dengan betul dan baik serta dapat mengajarkan jemaahnya serta membimbing ahli qariahnya berpandukan Ilmu as-Sunnah. Jika ramai pula yang alim tentang as-Sunnah, maka hendaklah diangkat orang yang paling tua di kalangan mereka.

Tanya Diri Kita
Persoalannya, sampai bila kita tidak mahu menjadi imam? Sampai bila kita tidak mahu berusaha untuk mempunyai ciri-ciri menjadi imam, seperti hadis di atas?
Sampai bila nak tunggu, untuk memperbaiki diri kita, supaya benar-benar layak menjadi imam? Sampai dijemput oleh malaikat maut, baru ada kesedaran?
Jika tak mampu menjadi imam, berusahalah sehingga mampu! Takkan 'aku tak mampu' untuk selama-lamanya, kan?
Sekiranya mempunyai kesedaran bahawa diri tidak mempunyai ciri-ciri untuk menjadi imam, seperti hadis di atas, seharusnya kita memperbaiki diri kita, menggunakan segala peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu agama.
"Err, aku malulah nak jadi imam, aku dah cuba, tapi rasa aku tak layak jugak."
Alasan yang tidak relevan sebenarnya untuk seorang lelaki tidak mahu menjadi imam, sedangkan dia mempunyai pilihan, untuk memperbaiki dirinya, hingga benar-benar layak menjadi imam. Semuanya terletak di tangan masing-masing.

Jangan Ditanya Mengapa
Selesai sudah akad nikah. Hari ini sebuah lagi masjid telah didirikan. Alhamdulillah. Semuanya gembira. Syukur kerana majlis berjalan lancar, seperti yang dirancang.
"Abang, ayah suruh abang jadi imam, sembahyang zohor nanti, kita sembahyang berjemaah ye", kata si isteri.
Isteri mana yang tidak mahu menjadi makmum kepada suami sendiri, bukan? Itulah yang ditunggu-tunggu para isteri selama ini, untuk mendapat suami yang benar-benar mampu membimbing keluarga ke jalan Allah, serta mampu menjadi imam solatnya.
Bagi lelaki yang sudah biasa menjadi imam,
"Insyaallah, abang akan menjadi imam kepada sayang, dan seluruh ahli keluarga sayang, ok." Senyuman kasih diberikan kepada isterinya, tanda setuju.
Berbeza pula dengan lelaki yang selama ini mempunyai seribu alasan, untuk tidak mahu menjadi imam,
"Errk! Betul ke ni, sayang, alamak! Esok boleh tak? Abang tak sedap badan ni." Pucat mukanya, kerana tidak mempunyai pengalaman menjadi imam selama ini.
Pasti hampa harapan si isteri, sudahlah baru sahaja mendirikan rumah tangga. Pasti kecewa.
Jadi, yang mana satukah diri kita? Masih belum terlambat untuk kita berubah sekarang.

Hanya KepadaMu Ku Bermohon


 
Ku renung pada langit yang kebiruan..Subhanallah.. Indahnya ciptaan-MU ya Allah.. Layakkah insan seperti aku ini berjalan dengan penuh megah? Sedangkan aku ini hanya berasal daripada setitis air mani yang hina.
Ya Allah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan sehingga tidak terhitung olehku. Aku alpa ya Allah.. Aku lupa bahawa aku ini hanya insan yang lemah. Tanpa sebarang kekuatan, dan jika Engkau tiada untuk membantu, apalah dayaku.. Namun, seringkali aku berbuat kemungkaran tanpa menghitung pahala dan dosa. 
Ya Allah, aku merasa beratnya beban yang ditanggung ini. Sepatutnya aku menjadi pendokong dalam meneruskan dakwah islam, namun aku sendiri menghancurkan diri sendiri. Aku malu ya Allah.. Malu padaMu dan malu pada semua yang memandang tinggi kepadaku.
Ya Allah, bantulah aku. Bantulah hambamu ini untuk berhijrah ke arah kebaikan. Bantulah aku untuk menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang islam. Bantulah aku ya Rahman. Mungkinkah suatu hari nanti, dengan kasih sayangMu, aku dapat meninggalkan dosa-dosa yang aku lakukan kini? Dengan rahmat dan kasihan belasMu, aku dapat melaksanakan tanggungjawab ku kepadaMu? Mungkinkah, sedangkan aku selalu membelakangkanMu?
Ku akui, amat susah untuk meninggalkan perkara yang sudah menjadi tabiat. Maksiat itu seakan sebati dengan diriku. Saat aku melakukannya, tiada rasa dosa dan bersalah di dalam diriku. Meskipun ia suatu kemungkaran, kerana sudah terbiasa.., ku fikirkan banyak lagi masa untuk bertaubat.
Hakikatnya aku sedar ya Allah... Hari demi hari umurku semakin berkurang.. dan berkurang.. sehinggakan pada suatu masa nanti.. sudah tidak mampu lagi untuk bertaubat kerana kesakitan menghadapi sakaratul maut. Dan mungkin juga tiada sempat untuk aku bertaubat lantaran nyawaku ini hanyalah satu pinjaman. Bila-bila sahaja Engkau akan mengambilnya tanpa ku duga.
Mungkinkah pada waktu itu baru aku hendak menyesal? Sedangkan peluang dan masa ku tiada lagi untukku. Aku tidak mahu ya Allah.. Sungguh aku tidak mampu menanggung seksa azab-MU kerana sakit yang kualami kini pun sudah tidak tertanggung sakitnya. Ini baru ujian di dunia. Apakah di akhirat nanti ku akan menerima azab yang lebih peritnya?
Ya Allah.. Ampunkanlah aku. Hapuskanlah dosa-dosa yang telah ku lakukan selama ini dan terima kasih ya Allah, kerana dugaan yang Engkau timpakan padaku inilah akhirnya yang mengingatkan diriku kembali,  betapa kerdilnya diri ini.

Wahai teman..
Apakah kau masih alpa seperti diri ini jua? Berubahlah.. kerana sahabatmu ini sayangkan dirimu. Dan kerana itulah, aku tidak mahu apa yang berlaku pada diriku, juga terjadi kepadamu. Gunakanlah kesempatan dan peluang yang ada untuk mendekatkan dirimu kepada Allah.
Untuk diriku dan dirimu, ingatlah "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan dia yang mengubah nasibnya sendiri". Saat ini, aku berusaha untuk mengubah diriku dan aku ingin membawa mu bersama-samaku. Ya, bersama-samalah kita menuju ke pintu syurga-Nya. InsyaAllah.
Doakan aku teman...

Pernikahan Ini Ke Mana Arahnya?


Sewaktu keinginan yang mendalam untuk bernikah bertandang di hati, kalian anak muda perlu berjuang. Ya, bukan sekadar berusaha, tapi berusaha dengan penuh perjuangan dan kesungguhan untuk menjaga iman dan kehormatan. Berjuang untuk merealisasikan perancangan pernikahan.
Dan dalam masa yang sama pula, syaitan juga turut sama akann berjuang mengagalkan niat kita menghalalkan hubungan, kerana syaitan amat suka dengan kemesraan (kemaksiatan) waktu berpacaran.
Jika telah habis cara dan idea untuk memasuki gerbang pernikahan, apakah pilihan yang kita ada...?
Juga berjuang. Berjuang dan bermujahadah menjaga kehormatan diri samada dengan berpuasa dan pelbagai cara yang munasabah selagimana ianya dapat mengelakkan diri daripada terjerumus di dalam kehinaan tipudaya syaitan.  Namun, tetaplah juga bersangka baik dengan Allah, Allah akan memakbulkan doamu pada waktu yang tepat. Teruslah mengisi masa mencari ilmu, beramal, membangun peribadi seorang hamba dan khalifah yang mukmin.
Pada yang telaz melafaz nikah, kini kalian telah menjejak alam pernikahan, yang dahulunya terdorong bernikah kerana ingin menjaga kebersihan hati dan perasaan. Namun, kita terlepas pandang, rupa-rupanya satu bahagian hati terjaga, tapi bahagian hati yang lain masih berperang...
Kita terlupa seketika, ' peperangan' dalam jiwa itu selalu ada...hingga akhir hayat. Selalu kena bermujahadah, di dalam dan di luar pernikahan. Jika dahulu kita hanya menjaga hati sendiri, tetapi setelah lafaz nikah terlafaz, banyak pula hati lain yang perlu dijaga
... jaga hati suami,
... hati mertua,
.. hati ipar duai,
...hati teman-teman yang masih bujang 
Saat itu hati telah pun 'terjaga', dan punya teman hidup yang setia, namun ke mana kita hendak bawa pernikahan itu? Adakah Setakat itu sajakah?
Dulu yang saya 'belajar' dari novel-novel cinta, jua romantic movies, banyaknya seperti itulah... 'berjuang' untuk merebut atau mempertahan cinta si dia, dan kemudian 'live happily ever after'.
Andai ada datang masalah.. ya, 'cinta kita' akan kuat untuk menempuh badai gelombangnya. Demikianlah kisah-kisah cinta yang banyak termuat di dalam novel-novel cinta yang mempersona lahirnya.

Tapi alhamdulillah setelah sedikit sebanyak kita belajar dari buku penerang dan petunjuk dari ALLAH – Al Quran- saya mula nampak bagaimana pernikahan saya dan kita akan memberi kesan pada suasana politik antarabangsa dan bagaimana ia akan mempengaruhi iklim dunia.
Wah begitu sekali kah?
Ya. Pernikahan kita bukan berkisar pada gelora jiwa kita sahaja. Ia adalah bagaimana kita memanfaatkan seluruh nikmat dan potensi yang Allah kurniakan untuk cemerlang sebagai hamba dan Khalifah.
Dan 'cinta suci kita' sahaja tidak cukup untuk mempertahankan rumahtangga, apatah lagi untuk pernikahan kita itu memberi nilai tambah pada ummah. 
Bagaimana? 
Pernikahan yang membangunkan potensi individu
Dulunya, antara niat saya, moga pernikahan yang menyatukan saya dan suami ini tidak lain menjadi wasilah untuk kami menjadi hamba-hamba Allah yang lebih baik, lebih bersungguh mencari keredaan dan keampunanNya.
Namun masa yang berlalu, saya mula berfikir. Kesenangan dan kesulitan yang ALLAH datangkan ke dalam rumahtangga ini, adakah benar-benar meningkatkan keperibadian kita seorang insan?
Apa khabar dengan ilmu kita tentang Allah dan Islam?
Akhlak kita masih di takuk lama atau banyak yang sudah digilap?
Sejauh mana kesungguhan kita memuhasabah dan memperbaiki diri kita dalam melunaskan hak pasangan?
Adakah makin bersemangat untuk beramal soleh dan istiqamah dengannya?
Adakah pernikahan ini benar-benar membawa kita menggantungkan hati dan memperhambakan diri padaNya?
Inilah persoalan yang perlu saya dan kalian jawab, jika benar pernikahan bukan tujuan kehidupan, tapi satu medan besar meningkatkan kesabaran dan ketaqwaan.
Pernikahan yang membangunkan potensi keluarga
Saya dulu tidak terlalu memikirkan soal anak, dan malah saya rasa tidak  matang untuk jadi ibu walau jauh di sudut hati, saya ingin melahirkan generasi yang dicintai Allah. Sedar-sedar, dengan izin Allah saya dikurniakan seorang anak yang rasanya begitu pantas membesar. Apa perancangan saya untuk mencorakkan kehidupan anak ini? Bukan kah dia juga kelak ditaklifkan untuk beribadah dan memimpin ummah ke jalan Allah?
Lantas, tiada ada cara lain, saya dan suami harus menyuburkan ilmu dan iman. Agar anak-anak ini turut membesar dalam suasana yang mengenal hakikat kehidupan, mengenal amanah yang datang dengan segala nikmat pemberian tuhan.
Karakter dan pembawaan dirinya akan banyak sekali ditentukan oleh persekitaran yang dicorakkan kami ibu bapanya dan orang-orang terdekat dengannya.
Jika dulu saya bersetuju, bahawa mereka yang bernikah jangan sekadar fikir sampai ke pelamin, tapi hingga ke lampin (anak-anak). Kini saya ingin mengembangkannya, harus kita fikirkan, pernikahan kita yang baru bermula ini, bagaimanakah kelak akan membantu anak-anak kita membina pernikahan yang penuh sakinah, rahmah wa mawaddah?

Pernikahan yang membangunkan ummah
Ummah ini mampu hebat jika setiap keluarga benar-benar menerapkan islam sebagai a way of life. Suami isteri yang berusaha memahami petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, pastinya akan  berusaha untuk mengukir keluarga dengan acuan Islam yang syumul.
Adakah pernikahan kita, keluarga yang kita bina, menjadi batu-bata yang menguatkan bangunan Islam?
Mungkin kita sendiri masih mencari ilmu, kita juga masih kabur keluarga bagaimana yang Islam kehendaki, ....tidak mengapa, langkah yang kita mulakan perlahan-lahan ini, mudah-mudahan mendorong anak-anak untuk kelak sama-sama mendalami ilmu Allah.
Mungkin kita sendiri masih banyak kelemahan akhlak yang perlu diperbaiki> Maka ayuh temanku, kita berganding bahu mencantikkan diri dengan akhlak islami, sebagai ibu bapa, sebagai isteri atau suami,  kita saling mendoakan agar insan-insan tersayang turut berada dalam petunjuk tuhan.
Mudah-mudahan dengan terbinanya keluarga yang berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup akan melahirkan generasi ummah yang madaniah pada masa mendatang. InsyaAllah
Pernikahan yang membangunkan mahligai di syurga
Rasul SAW berpesan agar kita selalu berhubung dengan ALLAh SWT, hati yang zikrullah dalam banyak keadaan, boleh memberi kebahagiaan di dunia dan di syurga.
Syurga itu mungkin terlalu jauh untuk kita harapkan dengan banyaknya kelemahan dan kesilapan kita. Namun, usah sekali-kali kita berputus asa dari rahmat Tuhan. Kita mungkin selalu tewas oleh godaan syaitan dan hambatan nafsu dan perasaan, namun sentiasa ada ruang taubat dan kembali pada tuhan.
Khadijah, Fatimah, Asiah dan Maryam.. keimanan dan kecantikan akhlak mereka ayuh kita jadikan teladan. Mereka penghuni syurga, maka merekalah contoh terbaik untuk diikuti bersama. Kepada para suami, sesungguhnya sebaik-baik suami adalah Rasulullah SAW sendiri. Maka contohilah baginda dalam mengurusi keluarga yang tersedia.
Jika kita gembira bahagia dengan pasangan hidup yang Allah takdirkan dengan kita waktu ini, bersyukurlah dengan terus lah mentaatiNya. Berdoa lah agar kemanisan ini bersambung di taman syurga sana.
Jika kita berduka lara dengan jodoh yang ditetapkan Allah, berusaha lah lakukan perbaikan di ruang yang ada. Dan rawatlah hati-hati itu dengan kesabaran dan keimanan yang sebenar-benarnya. Moga ia menjadi asbab juga untuk kita memperoleh pasangan sempurna di syurga...
Justeru, bernikahlah, raikan fitrah yang indah, bangunkan ummah dengan terus mencari ilmu dan redha Allah kerana di situ lah arah perkahwinan ini terbina. 

Cipta Alasan Tinggalkan Tarbiyah


Untuk mendapatkan nikmat tarbiyah bukan mudah. Begitu juga untuk sentiasa istiqomah dalam tarbiyah. "Pelbagai persoalan minda perlu dijawab. Tanyakan diri bersedia ke arah kebaikan atau katakan pada diri tunggu dulu.
"Saya masih muda. Usia remaja perlu dipenuhi dengan keseronokkan."
"Puaskan dulu dengan hiburan dan pergaulan. Bila dah puas, saya berubahlah."
Itu antara ayat lazim yang menjadi hujah para remaja bila diajak beramar makruf nahi mungkar. Mengatakan dirinya masih muda. Masih terlalu awal untuk menjadi baik. Ada juga yang mengatakan nanti lepas berkahwin saya akan berubah.
Tapi, persoalannya sampai bila memberi hujah sedemikian. Adakah kita yakin lepas ini, esok dan lusa kita masih hidup? Adakah kita tahu bila kita akan mati? Bukankah kematian itu paling hampir dengan diri kita dan semua makhluk yang bernyawa di muka bumi ini?
 Allah SWT berhak ke atas diri kita. Maka, Dia berhak berbuat apa saja ke atas diri kita tanpa berunding dan memberitahu kita. Ini termaksudlah hal kematian.
Kematian kita! Ya.. Kematian kita bila-bila saja menjemput.
Allah SWT akan menguji kita. Hidup dan mati kita itu adalah ujian daripada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Quran yang bermaksud;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,"
(Surah al-Mulk ayat 2)
Ujian tersebut hanyalah untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah SWT. Adakah kita ini benar-benar beriman atau seorang yang pendusta.
Benarlah kata Allah SWT yang bermaksud;
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut ayat 2-3)
Keimanan kita bukan sekadar kata-kata. Namun, perlukan pembuktian melalui ujian-ujian Allah SWT. Di situ, kita akan dilihat sejauhmana cara kita memaknai ujian-ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Namun realitinya sekarang, kita selalu mengatakan kita berhak ke atas diri kita. Namun, kita tidak sedar bahawa kita hanya perancang kehidupan. Merancang apa saja yang kita mahukan sedangkan yang merealisasikan semua rancangan kita adalah Allah SWT.

Kita lupa bahawa Allah SWT berhak ke atas diri kita. Sebab itu, kita yakin berani mengatur kehidupan kita. kita semakin tidak memerlukan Allah SWT. Kita tidak takutkan Allah SWT. Kita tidak menghiraukan siksa-Nya dan kemurkaan-Nya.
Dengan itu, kita seolah-olah tidak memerlukan tarbiyah islamiyah.
Meninggalkan Tarbiyah
Meninggalkan tarbiyah itu sangat mudah. Pelbagai alasan mampu direka dan digunapakai oleh kita untuk menjadi hujah meninggalkan tarbiyah diterima oleh yang mendengarnya. Kita bukan ustazlah/ustazahlah, bukan pula kita orang yang layak menyampaikan islam. Ramai lagi ahli-ahli agama di luar sana lagi layak. Diri saya tidak sucilah. Ahli maksiatlah. Susah nak berikhlaslah. Aku tidak bersedialah dan macam-macam lagi alasan yang direka-reka.
Kita merasakan tarbiyah islamiyah ini hanya sekadar membuang masa. Membazirkan usia remaja. Usia remaja perlu dimanfaatkan untuk keseronokan. Usia remaja hanya sekali. Maka itu, puaskan diri dengan hiburan hanya semata-mata terasa ingin bebas.
Apabila persepsi ini telah hinggap dan sebati dengan jiwa kita... maka, tidak hairanlah tarbiyah islamiyah kita selama ini akan terkorban dengan hidangan dunia yang penuh dengan tipu daya. Akhirnya, tarbiyah islamiyah tidak lagi mempunyai makna dalam kehidupan kita.
Pelik bukan!!
Untuk meninggalkan tarbiyah, ada saja alasan direka dan dicipta. Kemudian digunapakai sebagai senjata atau hujah untuk meninggalkan tarbiyah. Namun, kita tidak pula mampu mencipta usaha dan cara untuk mendapatkan tarbiyah dan terus istiqomah dalam tarbiyah?
Kalau adapun sangat sedikit untuk berbuat sedemikian. Itulah realiti masyarakat islam sekarang. Untuk mendapatkan kebaikan susah dibuatnya. Namun, untuk mendapatkan kemungkaran sanggup berkorban apa saja untuknya.
Astaghfirullah!
Jangan sampai penyakit ini menyelinap masuk ke dalam titik kelemahan kita.
Nauzubillah!
Oleh itu, Ayuh! muhasabah diri kita.
Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah islamiyah bertujuan untuk mengajak kita mengingati Allah SWT. Memahami dan mengamalkan syariatnya. Bukan itu saja, dalam tarbiyah juga kita akan digerakkan dan menyampaikan nilai-nilai islam kepada orang lain. Mengajak orang lain menyertai halaqah/usrah untuk mendapatkan tarbiyah secara berterusan. Bukankah mengajak orang lain itu kepada Allah SWT adalah sebaik-baik perkataan.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud;
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Surah Fussilat ayat 33)
Perlu diingatkan!
Beramar makruf nahi mungkar perlu dilakukan secara sepenuh masa (full time) bukannya separuh masa (part time). Dugaan dan cubaan itu perkara biasa dalam meniti jalan dakwah. Maka itu, kita kena sentiasa bersedia menempuh sebarang dugaan dan cubaan. Jika kita gagal, ini yang menyebabkan kita memilih untuk mengikuti tarbiyah dan mengamalkan islam secara part time.
Seterusnya, cipta alasan meninggalkan tarbiyah.
Tidakkah kita merasa rugi!
Kita juga, terasa berat dan terbeban dengan gerak kerja dakwah. Berputus asa dan mula beralasan. Akhirnya, kita mengatakan 'saya tidak layak lagi berbuat untuk islam. Saya tidak layak lagi bersama kalian'. Ana minta maaf akhi/anti.
Itulah pengakhirannya.
Kita tidak mahu itu!

Kita perlu sedari tarbiyah islamiyah perlu berterusan sehinggalah kita menemui ajal. Bukannya program pengajian dan pekerjaan secara part time. Tarbiyah islamiyah adalah modul, program pengajian dan pekerjaan yang perlu dilakukan secara full time. Ini kerana, kematian itu dirahsiakan oleh Allah SWT. Kita tidak tahu bila kita akan mati.
Justeru, kita perlu sentiasa bersedia dan mengamalkan dan memperjuangkan islam setiap masa. Pendek kata mengambil islam secara full time bukan part time. Supaya pengakhiran hidup kita nanti sedang khusyuk beribadah kepada Allah SWT. InsyaAllah.
Islam Full Time
Adakah kita tahu penghuni syurga semuanya orang-orang beriman yang mengamalkan syariat islam 100% ?  Setiap masa mereka memperjuangkan agama Allah SWT kerana mereka yakin "Dengan kita membantu agama Allah SWT, Dia akan membantu kita juga"
Allah SWT berfirman yang bermaksud;
"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 7)
Yakinilah kita adalah umat terbaik untuk manusia dan sekalian alam. Maka, jangan sia-siakan gelaran ini. Jadilah orang-orang yang memperjuangkan agama Allah SWT. Menjadi genarasi rabbani iaitu generasi yang mempelajari al-kitab dan mengajarkannya.
FirmanNya lagi
"Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.
(Surah ali-Imran ayat 79)
Dengan itu, Allah SWT memberikan dan menghadiahkan kita syurga.
Ingin masuk syurga?
Pastinya syurga itu menjadi idaman. Maka, apa yang perlu kalian lakukan? Meninggalkan tarbiyah atau sentiasa istiqamah berada di dalamnya?
Ayuh, jangan berlengah lagi! Mari kita aturkan langkah mengambil tarbiyah islamiyah sepenuhnya. Semoga kita tergolong bersama-sama mereka yang menyambung rantaian dakwah itu. InsyaAllah~