Tuesday, September 18, 2012

Aurat Ditutup, Benteng Diri terbentuk


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saat ini ku tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri istiqamah.
Sahabatku semuslimah. Ingin ku kongsikan pengalaman ini selepas berhijrah. Beberapa tahun yang lalu, aku adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup sekadar bertudung walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat bukan menutup aurat. Pada masa yang sama, solat ku juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah kadang-kadang tertinggal. Bukan aku tidak sedar semua itu adalah salah, tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan hamba Allah.
Benar, ketika itu setiap kali aku keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang liar memandang pada. Pernah juga aku diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai gangguan lagi yang aku hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan sesungguhnya aku tidak tenang dengan situasi begitu.
Namun, pada suatu ketika, aku mula terfikir sejenak, apakah cara hidup aku seperti ini akan memberi kebahagiaan kepada ku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan, pada saat itu, aku mula bersahabat baik dengan seorang rakan sekuliah aku. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya agak sempurna, auratnya tertutup rapi.
Aku berasa sangat tenang melihat dia. Secara perlahan-lahan tanpa disedari, aku mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai kasut yang bertutup. Aku terpandang diri aku di cermin, ya Allah..
Sememangnya diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu.. Pakaian yang longgar memudahkan aku untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.. Sesuatu yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri aku tidak menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! ke mana sahaja yang aku pergi, tiada lagi gangguan!
Selain itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat aku semakin terjaga. Walaupun aku tidak tahu adakah sempurna solat ku pada-Nya, namun solat ku tidak lagi sering tertinggal seperti sebelum ini.

Alhamdulillah, kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam kehidupan ku. Selain itu, aku juga turut membiasakan diri dengan berniqab. Supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada sesiapa. Yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi tatapan buat suami tercinta kelak.
Namun, belum dapat di istiqamahkan, kerana faktor tempat belajar dan keluarga. Apa yang pasti, setiap yang berlaku dengan izin-Nya itu telah banyak mengubah kehidupan ku. Aku berasa amat bahagia dan tenang dengan diri ku yang baru.
Semoga penghijrahan ini diredhai Allah dan istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman sebilikku, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata keranaNya. Semoga aku dan wanita di luar sana dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insya-Allah.
Adik-adik dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti ku dahulu, ayuhla kita berhijrah! Insya-Allah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik.
"Ingatlah, harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara... Kecantikan dan keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna"

Perjuangan Kita Bukan Hanya Cinta Manusia


Saat artikel 'Stop Searching For A Prince' disiarkan di laman web iluvislam.com, saya menerima beberapa komen positif daripada pihak pembaca. Alhamdulillah, segala pujian berbalik kepada Allah juga, yang mengilhamkan setiap aksara tersusun rapi pada tempat dan momen yang tepat. Namun terbit juga andaian-andaian nakal seperti;
''Alah, takde boyfriend bolehlah perli-perli orang begitu''
Aduhai, maaflah kalau terasa. Ikhlas, artikel yang lalu adalah pendapat peribadi semata-mata. Teguran daripada seorang pendosa buat saudara-saudara sefikrah yang tersayang tanpa ada niat walau sebesar zarah pun untuk memerli mana-mana pihak. Saya mengambil ibrah atas setiap apa yang telah saya lalui dan saya tidak mahu cepat melatah dengan penilaian manusia lain yang hadirnya cuma mengisi kekosongan sebagai watak sampingan dalam diari hidup saya kerana hakikatnya penilai yang perlu saya cakna ialah Allah swt.
"Bukankah Allah [yang demikian kekuasaanNya] sebaik-baik hakim."
(Surah at-Tin ayat 8)
Saya juga punya pernah punya perasaan suka terhadap seorang lelaki. Perasaan suka itu – mahu bersama dengannya, membina baitul muslim yang menjadi sumber pahala buat kami berdua, satu pelaburan di dunia yang hasilnya akan kami semai di syurga Allah nanti. Namun siapa sangka, lelaki yang hampir saya berta'aruf itu kini telah saya padamkan namanya, mungkin dia juga begitu. Percayalah, semua hal yang berlaku punya sebab yang tersendiri.
Saat hati saya minta dipujuk oleh insan sekeliling dek kerana putus cinta kononnya, saya mula sedar tiada sesiapa pun di atas muka bumi ini yang mampu menyembuhkan hati melainkan Allah swt, al muqallibal qulub, yang membolak balikkan hati. Malu, apabila merangkak ke atas tikar sejadah dengan air mata yang tumpah sia-sia kerana cinta manusia. Benarlah kata Ustazah Fatimah Syarha, fitrah cinta, jika tak mampu diurus dengan elok hanya akan merosak diri.

Saya percaya, aturan Allah adalah yang terbaik. Saat kita sangkakan hidup ini pasti lebih mudah andai kita mampu menjangkau segala isi rahsia yang telah tertulis di loh mahfuz – hati manusia, kisah kasih kita, rezeki dan segalanya, sedarlah bahawa hidup ini lebih bermakna kerana misterinya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
"Seorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Saya mahu terus berubah menjadi seorang muslimah yang baik, menuju ke arah gelaran solehah. Bukan kerana dia, tetapi kerana Dia. Kerana insya-Allah, saya akan terus tetap sandarkan keyakinan dan kepercayaan tiada batas kepada Allah. Benar, baitul muslim sentiasa dalam perancangan masa hadapan tetapi biarlah diri ini mantap dahulu di tangga pertama maratib amal yakni bergelar individu muslim. Bersusah-susah dahulu di dunia kerana sesungguhnya yang indah-indah itu di syurga sahaja.
Merenung-renung nasib umat Islam di Syria yang berjuang demi akidah dan dipaksa untuk memilih sama ada Allah atau Basyar Assad. Tapi kita, berjuang demi cinta manusia semata-mata. Teringat kata-kata seorang insan hebat di zaman Rasulullah s.a.w, Saad bin Abi waqas, "Aku adalah anak-anak panah Islam. Campaklah aku ke mana-mana sahaja, aku pasti akan berjuang demi Islam".
Ayuh kita menyambung kembali doa-doa yang tertinggal, sebak mengenangkan nasib saudara-saudara kita yang bergelut dengan krisis kemanusiaan sedangkan kita cuma berbaring melayan naskhah cinta dan irama khayalan yang entah dimana noktahnya.